Pages

Monday, August 30, 2010

IRANUN DAN ISU IDEALISME KEPIMPINAN

Saat kita membicarakan soal idealisme kepimpinan bangsa, maka perkara asas yang kita inginkan ialah melihat sejauh manakah kepimpinan yang ada berkeupayaan mengurus tadbir dan menangani permasalahan bangsanya seterusnya melakukan gerakan-gerakan tertentu untuk memastikan kesinambungan kepimpinan bangsanya.Malah sikap kepedulian terhadap bangsa inilah kepimpinan yang ada akan disanjung dan dihormati bangsanya.Sebaliknya sikap tak acuh pemimpin terhadap bangsanya akan membawa padah dan kesan buruk terhadap perpaduan dan kesatuan bangsanya.

Malangnya pada hari ini, suku kaum Iranun sedang mengalami proses gerhana kepimpinan yang besar.Sejak beberapa tahun yang lalu fenomena ini telahpun wujud dan rancak berlaku.Keinginan dan desakan perlunya diwujudkan wadah  baru dalam kalangan golongan intelektual suku kaum ini juga merupakan bukti bahawa penentangan sedang berlaku terhadap kepimpinan yang ada.

Dalam hubungan ini apa yang perlu kita tinjau dan lihat ialah samaada wujud atau tidak sikap penentangan ini.Jika ada, kenapa ianya berlaku? dan apa yang perlu kita lakukan? Sebagai pemimpin elit Iranun, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia harus menjawab persoalan ini.Jangan sama sekali kita cuba melebelkan bahawa golongan ini menentang kepimpinan TSP atau kita memberi gambaran yang golongan ini terlalu muda dan hingusan untuk memikirkan soal masa depan survival bangsanya?

Kembali kepada persoalan kepimpinan yang ideal.Siapakah yang pemimpin  ideal berkelayakan memimpin bangsanya.Ini kerana pemimpin ideal bagi sesuatu bangsanya,berbeza dengan pemimpin ideal bagi sesuatu bangsa yang lain.Pemimpin ideal sangat meluas makna sifatnya.Malahan ianya melingkari pelbagai bidang dan intelektual sifatnya.Ini bermakna,seseorang yang dikategorikan sebagai pemimpin politik ideal ianya bukan saja memerlukan bakat, kebolehan,kepandaian dan kemampuan tetapi ianya juga memerlukan kecekapan,tanggungjawab sekaligus menjadi jurubicara dan penyelesai masalah bangsanya.

Dalam keadaan kebanjiran golongan intelektual Iranun,yang berlatarbelakangkan pelbagai disiplin ilmu, idealisme kepimpinan yang berteraskan kekeluargaan, monarki dan konvensional akhirnya akan ditolak dan tidak akan diterima oleh bangsanya.Fenomena inilah sebenarnya telah mewarnai pemimpin-pemimpin parti politik di Sabah.Tun Mustapah dengan USNO misalnya hanya  sebelas tahun memerintah (1965-1976).Sehinggah kini saya merasakan fahaman dan anutan politik seumpama ini sedang melanda kepimpinan suku kaum Iranun.Menurut fahaman ini, dalam satu kawasan tidak boleh wujud dua atau lebih pandikar. sesiapa yang mencuba dirinya menjadi pandikar pasti menerima akibatnya.Peristiwa sedih ini berlaku kepada uncle Pinjaman Hassin.Bagaimana dalam riwayat sejarah politiknya beliau menjadi buruan, dan dengan air mata dan darah beliau mengharunginya.Inilah kekejaman pemimpin  politik yang mempunyai  idealisme  politik seperti ini. Peristiwa menyayat hati ini sepatut nya dan semestinya tidak boleh dilupakan setiap anak bangsa Iranun yang memahami dan mengerti nilai sebuah perjuangan bangsa.

Berbalik kepada kepimpinan yang ideal, buat seketika ini saya bersetuju bahawa Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia seorang pemimpin yang ideal terhadap diri dan keluarganya.Kemasyhoran dan ketangkasan beliau menembusi liku-liku perjuangan politiknya lebih kepada kejayaan peribadinya.Akan tetapi agak kurang sopan juga kalau kita menidakkan perjuangan beliau  terhadap  bangsanya, setidak-tidaknya kita harus mengakui beliau adalah lambang ketuanan bangsa Iranun sebagaimana seorang raja duduk di kerusi emasnya.


 


 

No comments:

Post a Comment